Sunday 2 October 2016

2.0 SUMBER KEPADA PELBAGAI CABANG SAINS DAN TEKNOLOGI




Al-Quran adalah kalamullah yang diwahyukan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. untuk disampaikan kepada seluruh manusia. Di dalamnya terkandung risalah Islam yang merangkumi konsep ketuhanan, sistem perundangan Islam, pengetahuan tentang alam ghaib, sistem moral, fakta-fakta sains, sejarah dan lain-lain lagi. Pembacaannya adalah suatu ibadah. Al-Quran juga merupakan mukjizat kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang kemukjizatannya berkekalan sepanjang zaman. Al-Quran juga menjadi sumber rujukan dan pencetus kebanyakan bidang ilmu. Oleh itu, adalah wajar dikatakan bahawa al-Quran sebagai sumber inspirasi dan asas dalam membina Tamadun Islam kerana pendorong dan penggerak utama orang Islam ialah al-Quran.

Al-Quran telah menjadi sumber kepada pelbagai cabang sains dan teknologi pada masa dahulu sehingga pada masa kini. Al-Quran telah menjadi petunjuk kepada semua manusia tidak mengira bangsa, agama, mahupun negara di muka bumi ini dalam pembentukan bidang-bidang ataupun cabang ilmu. Ia mengandungi penyelesaian kepada masalah-masalah yang menghantui kehidupan manusia. Hal ini kerana Al-Quran itu sendiri diciptakan oleh Allah swt yang maha mengetahui dan maha bijaksana. Panduan daripada Al-Quran melangkaui sempadan masa dan geografi serta tidak membezakan warna kulit dan bangsa manusia. 

Surah al 'Alaq membawa pengertian suruhan terhadap membaca, yang membuktikan dengan jelas betapa kuatnya penekanan al-Quran terhadap ilmu. Apakah pula ilmu yang diperintahkan oleh al-Quran supaya dipelajari oleh orang Islam? Iaitu semua ilmu yang berfaedah dan memberikan manfaat kepada manusia di dunia dan di akhirat. Maka itu, pembahagian ilmu dalam Islam itu terdiri daripada dua bahagian iaitu pertama, bahagian ilmu fardu ain. la merangkumi pelbagai asas ilmu yang menjadi syarat ke arah pembinaan individu muslim, seperti ilmu asas dalam akidah Islam dan ilmu asas untuk melakukan ibadah khusus. Kedua, bahagian ilmu fardu kifayah. la merangkumi berbagai-bagai ilmu yang membawa faedah kepada kehidupan manusia, seperti ilmu sains tabii, teknologi dan sebagainya.

                                                          
Al-Quran menyuruh manusia memerhati dan meneliti kejadian alam ini, kerana di sebalik setiap kejadian alam ini ada rahsia yang tersembunyi. Ini membuktikan, al-Quran mementingkan penelitian dan kajian, dalam mencari ilmu pengetahuan. Semasa manusia masih diselubungi kejahilan dalam bidang sains, al-Quran telah menyingkap beberapa isu berhubung dengan sunnah alam, kemudian menyuruh manusia melakukan penelitian dan kajian selanjutnya.

Sebagai kesimpulannya, al-Quran merupakan sumber ilmu pengetahuan dan berhubung rapat dengan bidang sains, dan oleh sebab itu Islam menekankan peri pentingnya ilmu pengetahuan sebagai asas pembentukan tamadun manusia. Terdapat beberapa sebab mengapa hubungan kedua-dua, al-Quran dan ilmu pengetahuan (sains) dianggap rapat iaitu Islam mementingkan ilmu pengetahuan dan menggalakkan umatnya untuk melakukan penelitian dan kajian terhadap alam semula jadi ini.

 Islam mementingkan kesejahteraan umat manusia sejagat yang boleh disumbangkan melalui penemuan-penemuan sains; wahyu dan Sunnah alam ditentukan oleh Allah s.w.t. Dengan itu wahyu merupakan asas kepada Islam dan Sunnah alam yang merupakan asas kepada ilmu sains datang dari sumber yang sama.

Berkisar pada ilmu-ilmu sains dam dunia teknologi ini, jika dikaji dan diteliti kandungan Al-Quran Karim, kita akan mendapati bahawa jumlah ayat-ayat Al-Quran yang membicarakan berkenaan sains dan teknologi secara tersirat amat banyak dan melebihi 750 ayat, manakala ayat-ayat yang berkaitan hukum hakam tidak melebihi 150 ayat, tetapi alangkah ruginya kita sebagai umat akhir zaman ini, kebanyakan daripada kita tidak langsung memandang sains dan teknologi dari sudut perspektif Al-Quran sedangkan ayat-ayat Al-Quran sendiri adalah 'sains dan teknologi' dan tanda kebesaran Allah s.w.t , itupun jika kita meluangkan sedikit masa untuk mentelaah serta mengkaji ayat2 Al-Quran ini sebagai satu kefardhuan seperti yg disarankan dalam Al-Quran.


 Allah berfirman: "Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan sesetengah kamu menjadi musuh bagi sesetengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara. Taha 20:123) 

No comments:

Post a Comment