Sunday 2 October 2016

PENDAHULUAN




Sains dan teknologi kejuruteraan tidak dapat dipisahkan dengan bidang ilmu dalam Islam.  Dalam bidang sains, sains adalah satu usaha manusia untuk menghuraikan sesuatu dengan tepat dan secara kuantitatif mengenai alam tabi’e dan perjalanannya melalui pengamatan, hipotesis dan eksperimen yang benar.  Antara konsep dalam sains adalah hukum, sebab dan akibat.  Dalam hal ini, sains dan Islam sama-sama berpegang kepada prinsip bahawa alam ini adalah bersifat konseptual iaitu sesuatu yang boleh difahami dan dimengertikan.

Bidang sains sendiri belum menemui kebenaran yang sejati dan hakiki. Tradisi Islam adalah untuk melahirkan para sainstis berteknologi, Muslim yang beriman dan berahklak serta Islam menolak kemajuan teknologi tanpa akhlak dan sains yang menolak spiritual.  Sains dalam pandangan Barat beranggapan sumber wahyu tidak diperlukan berasaskan kepada prinsip logos dan mitos. Logos adalah satu penemuan yang paling ampuh, hasil dari eksperimen manakala mitos pula umpama khayalan yang tidak wujud dan tidak dapat dibuktikan secara tepat dan konkrit.

Jibril menurunkan ayat al-Quran kepada Nabi Muhammad dan menunjukkan kepadanya tempat di mana ayat-ayat itu perlu diletakkan dalam surah ataupun ayat-ayat yang turun sebelumnya. Lalu beliau memerintahkan kepada para penulis wahyu menulisnya di tempat itu. Tertib atau susunan ayat di dalam al-Quran mengikut pendapat para ilmuwan adalah tauqifi iaitu ketentuan daripada Nabi Muhammad berdasarkan wahyu daripada Allah. Sebahagian ilmuwan menyatakan pendapat ini adalah ijmak atau sepakat semua ilmuwan.

Islam adalah agama yang sangat sempurna dan bersifat syumul. Kesempurnaan Islam jelas dilihat melalui sumber agama ini yang datang secara langsung dari Allah tuhan sekalian alam. Al-Quran dan al-Sunnah merupakan dua sumber utama bagi setiap ajaran dan asas di dalam Islam. Kedua-dua sumber ini adalah mukjizat yang paling agung yang turut menjadi sumber utama bagi setiap penemuan dan kemajuan sains dan teknologi pada hari ini.
                                          
Ilmu sains terhasil dengan cerapan dan pemerhatian yang bersumberkan akal manusia manakala agama merupakan wahyu dan pedoman daripada Allah. Oleh sebab itu, hasil pengkajian ilmu sains bersifat relatif dan sentiasa berubah-rubah tetapi sifat ilmu agama yang bersumberkan al-Quran adalah mutlak. Demikian juga Allah telah merakamkan dalam surah al-Mulk ayat 3 yang bermaksud: "Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat dalam penciptaan Tuhan yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?" 

Ayat ini sudah cukup memberikan tanda dan peringatan kepada manusia bahawa sehebat mana pun penciptaan atau penemuan sains dan teknologi tidak akan sama sekali menandingi kehebatan dan kekuasaan Allah. Justeru, agama itu perlu dinilai sebagai domain yang utama dalam menfokuskan apa jua kajian agar tidak jauh tersasar daripada landasan sebenar.Malah, seharusnya ia mampu meningkatkan keimanan kita kepada Allah dan kekerdilan diri sebagai hamba dalam segala urusan bersangkut paut dengan kehidupan.

 Justeru, berbicara tentang kehidupan hari ini tidak dapat lari dengan kitab panduan seluruh umat Islam yang sememangnya padat dengan ilmu dan hidayah bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Cuma yang paling menyedihkan pada hari ini ialah masyarakat Islam itu sendiri yang tidak melihat ilmu sains dan agama perlu kepada interaksi yang kukuh di antara keduanya. Maka akan wujudlah ahli sains yang buta dan ahli agama yang tempang. Bukankah itu juga satu kelompongan yang luas dalam medium kehidupan mutakhir kini?

Apa jua penemuan sains perlu bersandarkan keimanan kepada Allah. Orientasi ini lebih indah dan terarah. Konsep yang disebut ssebagai sains tauhidik ini akan melahirkan umat Islam yang mempunyai tradisi keilmuan yang tinggi dan ketaqwaan kepada Allah akan meningkat. Umat Islam yang mempunyai minda sebegini tidak mengehadkan ilmu dengan hanya apa yang diperolehi melalui cerapan berdasarkan akal manusia semata-mata tetapi ia melangkaui dengan ilmu Allah yang kadangkala tidak boleh dicerap menggunakan pancaindera dan akal yang saintifik tetapi hanya melalui keyakinan yang tinggi kepada Allah.

                                                   
Ilmu yang mendasari konsep sains tauhidik tidak terbatas dengan penemuan akal manusia secara fizikal tetapi juga melalui pembacaan ilmu Allah yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah. Akhirnya, ilmu tersebut dapat mengenalkan manusia kepada Allah.

Sains dan agama bukanlah sesuatu yang boleh diasingkan atau dipisahkan malah ia diperlukan oleh umat Islam dalam menjalani tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Sains juga tidak bertentangan dengan Islam, malah banyak konsep yang diutarakan dalam sains telah dinyatakan dalam ayat-ayat Allah termasuklah apa yang telah diajarkan oleh pesuruhNya. 

Namun begitu, bukanlah dikatakan al-Quran itu sebagai buku sains tetapi ia melangkaui sebagai petunjuk kepada umat manusia. Ia juga mempunyai bukti-bukti saintifik yang hanya baru dapat dibuktikan dan ditemui oleh manusia pada masa kini. Sedangkan al-Quran telah membincangkannya sejak mula ia diturunkan lagi. Begitulah hebatnya kekuasaan Allah.

Apabila membicarakan sains dan dikaitkan dengan al-Quran dan kekuasaan Allah, pasti menyebabkan perubahan yang mengkagumkan. Antara perubahan tersebut adalah meninggalkan kejahilan dan kekufuran kepada peningkatan iman. Terdapat juga yang mendapat hidayah daripada Allah kesan daripada pengkajian sains yang dihayatinya. Dengan bukti-bukti yang ada, apalagi yang dapat dilihat dengan mata kasar, dinikmati dengan pancaindera, kita akan merasai betapa bersyukurnya masih dapat meneruskan hidup ini dengan pinjaman nikmat yang Allah berikan. 

Berbeza dengan apa yang dapat dilihat pada hari ini apabila ilmu sains diagung-agungkan sehingga mengenepikan nilai-nilai luhur yang dipelihara kukuh oleh masyarakat. Ilmu yang ditemui memberi natijah kepada jauhnya hubungan dengan yang Maha Pencipta. Perkembangan sains dan teknologi telah mewujudkan masyarakat materialistik yang meremehkan nilai spiritual dan kemanusiaan. Penyelidikan yang dijalankan tidak mengutamakan aspek etika yang akhirnya memberi impak kepada keseimbangan alam sekitar dan umat manusia sejagat. Kerosakan yang dideritai oleh seluruh kehidupan pada hari ini berpunca daripada kelalaian manusia yang bertuhankan kerakusan nafsu dalam mengkaji dan mencipta apa jua teknologi kehidupan manusia. Inilah yang dikatakan manusia akan menjadi buta sekiranya membangunkan sains dan teknologi tanpa agama serta keimanan kepada Allah.

                                                           
Begitu juga dengan pembangunan agama memerlukan kepada pembangunan sains dan teknologi untuk melengkapkan kehidupan. Untuk mentadbir dan mengurus alam dan kehidupan ini, manusia memerlukan kepada sains dan teknologi. Bagaimana mungkin alam ini dapat ditadbir dan diurus dengan baik sekiranya kita jahil dengan tabii alam? Dengan kata lain, manusia perlu kepada sains dan teknologi untuk memantapkan lagi kehidupan beragama.

Dalam al-Quran, terdapat ayat-ayat yang berhubung tentang fenomena dan kejadian alam. Secara khususnya, manusia diminta untuk memikirkan tentang penciptaan alam seperti kejadian langit, bumi, hujan, air, bukit, gunung, siang dan malam serta memahami tabii alam untuk diurus dan dimanfaatkan mengikut acuan Islam. Sedangkan dalam ilmu sains, manusia diterangkan tentang fenomena alam tabii, agar lebih difahami dan juga diaplikasikan dalam kehidupan.

Perbezaan antara sains dan al-Quran perlu difahami agar interaksi di antara kedua-duanya dapat menterjemahkan kehidupan yang lebih bermakna. Kitab al-Quran dapat menyuluh manusia kepada hidayah Allah kerana terdapat juga ayat-ayat didalamnya yang berbentuk perintah dan prinsip serta kehidupan sosial sesama makhluk. Manakala sains pula membolehkan manusia memanfaatkan alam dan kehidupan dengan memperbaiki dan memperelokkannya mengikut acuan yang telah ditetapkan. Betapa indahnya kehidupan beragama disulami dengan perkembangan sains dan teknologi yang terarah.

Menarik, menguja dan mengasyikkan. Bagi sesiapa yang baru bertatih mengenali ilmu sains, sungguh ia menakjubkan. Tidak hairan juga bagi yang sudah lama berkecimpung dalam dunia sains. Penerokaan ilmu sains seharusnya menimbulkan rasa kagum dan takjub tentang kebesaran Allah.Pembangunan sains dan teknologi tanpa agama adalah buta tetapi tiada siapa pun yang dapat menafikan keperluan sains untuk membangun dan memakmurkan alam ini. Justeru, sains itu perlu dibicarakan dalam konteks agama untuk memandu apa jua perkembangan yang dibangunkan oleh manusia berteraskan sumber wahyu dan berinspirasikan keagungan Allah sebagai Pemilik dan Pencipta yang Maha Agung. Sudah pastilah al-Quran sebagai sumber rujukan utama.               

No comments:

Post a Comment