Sunday 2 October 2016

5.0 Menjadikan Sains Teknologi Dan Kejuruteraan Mencapai Fakta Dan Bukti Ke Arah Kebenaran


Sains diambil dari perkataan Inggeris ‘science’. Berasal dari perkataan Latin ‘scientia ’,
Bermaksud ‘pengetahuan’. Secara terminologi, sains adalah pengetahuan yang mempunyai ciri-ciri, tanda-tanda dan syarat-syarat khas. Dengan kata lain ia tidak menyamai perkataan ‘knowledge’ (pengetahuan biasa). Dalam English Oxford Dictionary, sains ditakrifkan sebagai,
“suatu cabang ilmu yang mengkaji sekumpulan pernyataan yang terbukti atau dengan fakta-fakta yang ditinjau, dan disusun secara bersistem dan dihimpun dalam bentuk hukum-hukum umum, dan ia termasuklah kaedah-kaedah yang boleh dipercayai untuk menghasilkan kebenaran baru. Ringkasnya: Sains adalah sesuatu yang boleh dibuktikan kebenarannya melalui ujian empirikal.

MAKSUD SAINS ISLAM
Ia adalah suatu maklumat atau fakta yang didapati menerusi penyelidikan dan penemuan yang menggunakan kaedah-kaedah tertentu.Ia dikaitkan dengan cabang ilmu pengetahuan yang sistematik, yang bertolak dari sesuatu sebab dan akibat yang boleh diuji dan dibuktikan kebenarannya.(Kamus Dewan, 1986:1009) Sains itu merupakan suatu proses untuk sampai kepada suatu kebenaran disebabkan pertanyaan manusia terhadap asal usul dan tujuan kewujudan sesuatu di alam semesta ini. Kaedah yang digunakan untuk sampai kepada kebenaran mutlak ialah melalui kajian emperikal, dan pengumpulan data-datanya pula adalah melalui pancaindera serta pemikiran manusia sahaja.
Sains Islam adalah ilmu pengetahuan tertentu, yang lahir hasil dari gabungan unsur fizik dan metafizik. Gabungan antara ilmu intelek dan ilmu wahyu. Gabungan antara falsafah dan sains yang pada prinsipnya ia selaras dengan ajaranajaran dan konsep-konsep dasar dalam Islam.

                                               


SEJARAH SAINS
Sains moden yang lahir daripada tamadun barat itu bukanlah suatu yang baru dan wujud tersendiri. Ia merupakan rantaian perkembangan sejak zaman dahulu daripada sains tamadun Mesir Purba, Yunani, India, China, Islam sehinggalah kepada zaman pertengahan di Eropah. Walau bagaimanapun setiap tamadun tersebut mempunyai ciri-ciri khusus dari segi bentuk dan falsafah.
Sains moden berbeza daripada sains zaman pertengahan dan juga daripada sains Islam dari segi falsafahnya. Sains moden tidak meletakkan ketuhanan sebagai sumber utama pemikiran, tetapi sebaliknya meletakkan akal manusia sebagai pusat yang mejadikan penentu segala-galanya. Akhirnya sains moden menganggap segala fenomena alam dapat dijelaskan melalui akal fikiran semata-mata dan tidak memerlukan pertolongan daripada Tuhan. Falsafah sains sebegini menjadi pegangan sebahagian besar ahli sains hari ini khasnya di Barat.
Kebanyakan sarjana Islam pada zaman kegemilangan, bermula dengan pengajian agama sebagai ilmu asas, seterusnya mempelajari dan menerokai ilmu-ilmu sains kemudiannya. Ibn Sina yang dikenali sebagai ahli falsafah al Quran sejak berusia sepuluh tahun. Begitu juga dengan sarjana Kristian pada zaman pertengahan dari segi pendidikannya juga telah menerima ilmu bersepadu kerana mereka rata-rata menerima pendidikan di biara. Copernicus pada mulanya belajar untuk menjadi ahli gereja yang unggul, tetapi kemudiannya terkenal sebagai ahli astronomi.
Antara tamadun besar manusia yang telah menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan sains ialah Tamadun Mesir Purba, Tamadun Yunani, Tamadun India, Tamadun China, Tamadun Islam, Tamadun Eropah Zaman Pertengahan, Tamadun Eropah Renaissance dan Zaman Revolusi Sains hinggalah ke hari ini.

SAINS MESIR PURBA                                                      


Tamadun Mesir Purba muncul sejak 3000 SM. Mereka memperkenalkan penggunaan rajah dan simbol dalam ilmu matematik. Konsep jam masa sudah pun wujud pada ketika itu. Satu hari dikira daripada permulaan naik matahari hingga naik matahari keesokan harinya. Teknologi mereka yang mengkagumkan manusia ialah teknologi binaan piramid. Setiap piramid dibina daripada bungkah batu kapur yang berat setiap satunya 2.5 tan. Untuk membina sebuah piramid, berjuta-juta bungkah batu kapur diperlukan. Piramid Khubu Siva dibina daripada 2.3 juta bungkah batu kapur.

SAINS YUNANI
Dalam perkembangan tamadun dunia, Tamadun Yunani telah dianggap oleh ahli sejarah Eropah sebagai tamadun yang amat penting. Tamadun ini menjadi salah satu unsur penting dalam Tamadun Barat. Sains Yunani melahirkan ramai ahli falsafah dan ahli matematik terkenal seperti Thales (624 - 565 SM), Pythagoras (580-500 SM), Plato (427 - 347 SM) dan Aristotles (384 - 322 SM).
Teorem Pythagoras merupa salah satu contoh yang digunakan sehingga hari ini. Archimedes (287 - 212 SM) pula merupakan seorang sarjana fizik yang termasyhur. Beliau dikenali kerana jeritannya Eureka!, Eureka! (Ku jumpa!) ketika beliau memperolehi ilham untuk menyelesaikan masalah bagi menentukan ketulenan emas. Hippocrates yang dianggap sebagai bapa perubatan dikenang sehingga ke hari ini melalui angkat sumpah doktor sebelum mereka mengamalkan perubatan. Idea tentang atom dipelopori oleh Leucippus dan Democretos. Idea ini seterusnya dikembangkan oleh John Dalton, seorang ahli sains barat dalam abad kesembilan belas.

SAINS INDIA
Tamadun India adalah antara yang tertua. Dari segi perkembangan sains terdapat dua zaman; Zaman Sulvasutra (800 - 300 SM) dan Zaman Siddhanta (selepas 300 SM). Antara contoh sumbangan tamadun ini ialah dalam bidang pembedahan. Mereka boleh membuat pembedahan mata untuk mengubati penyakit katarak.
Kewibawaan perubatan India terletak dalam empat kitab iaitu Caraka, Susruta, Atreya dan Vagbhata. Mereka juga telah melakukan pembedahan yang kita kenali sekarang sebagai pembedahan plastik apabila mereka menampal telinga seorang pesakit dengan kulit yang di ambil daripada tempat di badan pesakit itu. Perkembangan Tamadun India banyak dipengaruhi oleh Tamadun Yunani.

SAINS DALAM ISLAM
Ibnu Haitham (sainsoptik), Ibnu Yunus (penciptaan jam) dan Ibnu Nafis (sistem lengkap peredarandarah), Ibnu Sina (sains perubatan), al-Biruni (astronomi) dan al-Khawarizmi(matematik) dan Ibnu Rusyd (falsafah).
Penemuan daripada hasil kajian sains dan perkembangan teknologi telah banyak membantu manusia melakukan pelbagai aktiviti serta membolehkan kita berkomunikasi kerana jarak atau destinasi yang jauh tidak lagi menjadi penghalang untuk kita menjalankan sebarang aktiviti pekerjaan. Malah melalui penemuan daripada hasil kajian sains dan teknologi, manusia dapat menemui pelbagai jenis penawar kepada penyakit.
Terdapat banyak ayat dalam Al-Quran menyeru supaya manusia mengkaji dan meneliti fenomena alam untuk memahami dan mendalami ilmu pengetahuan agar dapat membina suatu tamadun yang sempurna. Berdasarkan ayat di bawah jelas bahawa alam yang dicipta Allah s.w.t. tertaluk kepada hukum-hukum tertentu dan apa yang ada di langit dan di bumi adalah hak Allah s.w.t. untuk kemudahan dan kegunaan manusia. Islam tidak terbatas kepada hubungan manusia dengan Tuhan, bahkan merangkumi semua aspek kehidupan.
                                                      


Allah berfirman yang bermaksud:

“Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah memudahkan untuk kemudahanmu apa yang ada di langit dan di bumi, dan telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmat-Nya yang zahir dan batin.” (Surah Luqman: 20)
Fakta yang diakui oleh Barat sendiri ialah peranan yang dimainkan oleh Islam dalam memperkenalkan sains ke Eropah iaitu melalui universiti-universitinya di Andalus, Sepanyol pada abad ke-13 M. Umat Islam cukup terkehadapan dalam tamadun ilmuan, kebendaan dan kemanusiaan. Semasa Eropah masih dalam zaman kegelapan, di Cordova bandar umat Islam sudah diterangi dengan lampu awam di jalan-jalan rayanya. Pencapaian ketamadunan orang Islam amat jauh di hadapan ibarat langit dengan bumi kerana Eropah terlalu masih jauh tertinggal di belakang ketika itu.
Antara bidang yang menjadikan Islam pemangkin kepada perkembangan sains dan teknologi adalah seperti berikut:

BIDANG BIOLOGI

Sains biologi merupakan bidang ilmu yang berkaitan dengan benda-benda hidup. Pengetahuan asas mengenai habitat, kelakuan dan pengkelasan haiwan dan tumbuh-tumbuhan telah dikaji dan dicatat oleh orang-orang Islam sejak zaman Bani Umaiyah. Mereka amat berminat di dalam pembiakan kuda dan unta. Sehubungan dengan itu mereka berjaya menghasilkan suatu penemuan asas untuk memulakan kajian dalam bidang zoologi dan biologi biak-baka.

                                                      
                                                
Pakar sains Islam amat tertarik untuk mengkaji bidang botani malah mendapat perhatian khusus kerana kepentingan tumbuh-tumbuhan dan hasilnya dalam perubatan amat diperlukan oleh masyarakat Islam ketika itu. Al-Riyasa Ibn Jarit (meninggal 1193 M), menulis mengenai limau dan rubab dan penggunaannya. Al-Ghafiqi dari Cordava berjaya mengkelaskan tumbuhan yang dikutip dari Sepanyol dan Afrika dengan nama Latin dan Berber. Beliau telah menerbitkan sebuah buku tentang tumbuh-tumbuhan dan 50 buah jenis pokok buah-buahan yang dijadikan rujukan oleh pakar-pakar lain selepasnya.
Al-Nabati menghasilkan Al-Rihlah setelah menjalankan penyelidikan yang meluas sehingga ke Sepanyol, Afrika Utara, Arabia dan Laut Merah. Buku yang menceritakan tentang tumbuhan-tumbuhan yang dijumpainya. Murid beliau, al-Baitar, telah menyusun sebuah buku yang menyenaraikan 1,400 jenis dadah yang diproses daripada binatang, tumbuh-tumbuhan dan bahan bahan galian. Karyanya “Al-Mughni fi al-Adwiyah al-Mufradah” dan “Al-Jami´fi al-Adwiyah al-Mufradah” paling berpengaruh di bidang farmakologi. Sebahagian karya ini diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Perancis dan Jerman.

ASTRONOMI
Astronomi merupakan salah satu cabang ilmu yang tertua di kalangan ilmu sains. Sejarah perkembangan ilmu ini sebenarnya diasaskan oleh pakar Islam. Bukti dalam al-Quran tentang ilmu bintang dan alam semesta serta kecenderungan orang Arab terhadap ilmu ini merupakan dorongan kuat kepada kajian terperinci tentang astronomi. Sumbangan dalam bidang ini bermula apabila Muhammad Ibn Ibrahim al-Fazari menterjemahkan sebuah buku astronomi dari India bertajuk “Siddharta” ke Bahasa Arab pada tahun 155 H / 771 M. Seterusnya beliau menterjemahkan pula “Jadual Pahlavi” yang diberi nama“Zij”. Diikuti pula penterjemahan karya-karya astronomi berbahasa Yunani.

Antara para Islam yang berjaya mengkaji ilmu astronomi terdiri daripada Yakub Ibn Tariq, al-Kwarizmi, al-Battati, al-Farghani, al-Suffi, al-Biruni, al-Tusi dan Umar al-Khayyam. Balai cerap telah banyak dibina di kawasan wilayah Islam. Antaranya Jundishapur, Baghdad dan Tadammur. Terdapat juga balai cerap di Kaherah, Isfahan, Malaga, Almeria, Samarqand dan di bandar-bandar Islam yang lain. Balai-balai cerap tersebut dilengkapi berbagai peralatan astronomi, antaranya termasuklah astrolab yang membolehkan jarak antara sesuatu bintang diukur, pengukuran paksi bumi dan luas bumi. Alat ini juga boleh digunakan untuk mengira latitud matahari dan bintang-bintang di galaksi. Hasil pembinaan balai cerap juga dapat membantu pengkajian bagi menentukan arah kiblat yang tepat walau berada di mana sahaja kita berada di dunia termasuk di Malaysia.

Tamadun Islam juga berkembang pesat di sebelah barat Andalus yang merupakan pusat kegiatan intelektual Islam di Barat telah menghasilkan ramai sarjana dalam pelbagai bidang. Ibn al-Zarqiyali mahir dalam menentukan gerhana matahari dan telah mencipta sebuah kompas untuk menentukan jarak antara bulan dan bumi dan di antara bintang-bintang dan matahari. Umat Islam juga telah berjaya mencipta kompas yang digunakan dalam pelayaran di laut. Dengan itu kegiatan perdagangan dan pelayaran telah berkembang dengan pesat.

PERUBATAN
Islam telah berjaya melahirkan ramai sarjana yang pakar dan tokoh yang memberi sumbangan dalam ilmu perubatan. Antara mereka ialah Zakaria al-Razi (865-925 M) yang menghasilkan “Kitab al-Hawi”, Ammar bin Ali yang menulis “Kitab al-Muntakhab”, Ibn Sina (al-Qanun fi al-Tibb), Ali Ibnu Abbas al-Majusi (al-Maliki), Ali al-Tabari (Firdaus al-Hikmah), Ibnu Rusyd (al-Kuliyah), dan al-Baitar yang merupakan pakar terulung dalam ilmu pembedahan.
Di Baghdad, cabang ilmu pengetahuan yang pertama sekali dikaji ialah ilmu kedoktoran dan perubatan. Khalifah Harun al-Rashid (170 H/786 M–193 H/809 M) mendirikan rumah-rumah sakit (Bimaristan) di seluruh negara. Rumah-rumah sakit di Kaherah pada zaman Ibn Tulun telah diasingkan wad lelaki dan wanita. Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula membina hospital khas untuk merawat pesakit-pesakit.   

Yuhana Ibn Musawaih telah melakukan kajian mengenai anotomi tubuh manusia. Oleh kerana pembedahan mayat belum lagi dilakukan, beliau melakukan kajian dengan membedah seekor monyet. Dengan pembedahan monyet itu ilmu anatomi mata telah berkembang dengan pesat. Beliau juga turut menghasilkan buku yang bertajuk “Al-Asr Maqalat fi al-Ain” yang merupakan kitab tertua yang ditulis secara bersistematik menerangkan kaedah tentang oftalmologi.
Ibn al-Nafis, adalah seorang doktor dan pakar bedah. Beliau telah menghasilkan teknik pembedahan dan perawatan selepas pembedahan. Dalam kajiannya, beliau mendapati darah beredar antara jantung dengan paru-paru. Kajian ini membetulkan kesilapan teori Galen Yunani. Al-Nadhr telah mempelajari ilmu perubatan dari bapanya al-Harith (meninggal 23 H), beliau telah membuat pil-pil yang digunakan untuk merawat penyakit kuning.

KEJURUTERAAN
Kajian telah menunjukkan sumbangan sarjana dan jurutera Islam tersebar ke benua Eropah, khususnya Andalus (Sepanyol) dan Itali. Dalam bidang kejuruteraan awam, kubah dan menara masjid menunjukkan kefahaman dan kemahiran Islam. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bidang kejuruteraan awam hidologi diperkenalkan, beberapa buah terusan telah dibina. Terusan yang utama ialah terusan yang menyambungkan Sungai Nil dan Laut Merah. Pembinaan terusan ini memakan masa selama enam bulan dan panjangnya kira-kira 110 km.
Rekaan-rekaan yang menarik telah dapat dihasilkan dengan kemahiran dan kefahaman sarjana Islam dalam segala bidang kejuruteraan pada zaman itu apabila dicampur dengan rekaan seni-seni halus. Pada awal abad ke-9 M, Khalifah Harun al-Rashid telah menghadiahkan sebuah jam air yang sungguh menarik kepada Raja Charlemagne. Pada awal abad ke-8 M, jurutera-jurutera Islam telah mempelajari teknologi membuat kertas dan mendirikan beberapa buah kilang kertas di Samarqand dan Baghdad sebelum akhir abad ke-8 M.

                                          

Al-Biruni (973 M – 1048 M) adalah peneroka bidang sains tabii Islam yang ternama. Beliau merupakan pengasas teknologi sains sukat setelah berjaya menentukan ketumpatan spesifik kepada sebanyak lapan belas mineral dan batu-batan. Dalam teknologi perkapalan, jurutera-jurutera Islam telah membina kapal dagang dan kapal laut. Dengan kemajuan orang Islam dalam bidang astronomi, teknologi pelayaran telah dapat membawa pedagang-pedagang dan pendakwah-pendakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia seperti China ke sebelah Timur dan hingga ke England dan Ireland di sebelah barat.
Kejuruteraan petroleum dalam sistem carigaliannya di dasar laut telah ditemui kaedah barunya oleh jurutera-jurutera Malaysia dan berjaya dilaksanakan di pusat cari gali dasar laut Kerteh, Terengganu. Kaedah ini mempercepatkan kerja-kerja cari gali dan mengurangkan pembaziran bahan galian terbabit. Kaedah ini telah digunapakai oleh negara dunia ketiga seperti Ghana, Mauritius dan Tajikistan menggunakan perundingan dan kepakaran jurutera-jurutera Malaysia.
Ilmu sains dan teknologi merupakan sumber dari al-Quran yang diturunkan kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Ajaran yang terkandung di dalam al-Quran melatih pemikiran dan mendisiplinkan pencarian ilmu pengetahuan untuk kemajuan sains dan teknologi. Menjadi asas penting bagi sarjana mengupas kajian yang dibuat untuk mentauhidkan Allah dan menambahkan keyakinan serta keimanan bila kita mampu memahaminya.
“Maka Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujaadilah: 11)

Kesimpulannya, sains dan teknologi Islam adalah berdasarkan kepada kewujudan Allah dan juga menunjukkan terdapatnya pertalian antara semua yang wujud. Tidak hairanlah bahawa sarjana Islam pada zaman silam bukan sahaja dapat menguasai pelajaran sains dan teknologi, malah mereka mampu memikul beban dan tugas yang difardhukan oleh Allah kepada semua makhluk-Nya. Jelaslah sains dan teknologi yang di sumbangan pada hari ini adalah dipelopori dari sarjanan-sarjana Islam dahulu dan bukannnya dari orang Barat, malah orang Barat sendiri menceduk ilmu ini daripada Islam.                                            

No comments:

Post a Comment